Tuesday, February 12, 2019

Menanggung Kerja Part 1

Arahan Menanggung Kerja



Suatu hari sedang aku sibuk membuat kerja-kerja hakiki di meja, tiba-tiba bos bahagian aku datang sambil tersenyum-senyum. Dari senyumannya seperti ada perkara penting yang mahu disampaikannya. Sebenarnya dia memang suka senyum sahaja.

"Fida, nanti bincang dengan Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Maya Karin untuk agih-agih kerja siapa yang nak tanggung kerja ya. Tempat EO yang nak bersara, tempat PA, tempat CC dan bilik fail." Bos aku melontar kata sebaik sahaja dia berdiri di sebelah meja.

Termangu kejapan aku cuba menghadamkan kata-katanya. Sangkaanku tidak meleset sama sekali. Sudah aku jangkakan itu yang mahu disampaikannya memandangkan PA ganti akan mula Cuti Tanpa Gaji lagi beberapa hari. PA sebenar pula sedang bercuti belajar selama 4 tahun. 

Bila bos suruh bincang sesama sendiri, makanya dengan kata sepakat (walaupun tidak berapa sepakat) yang ada aku akan menanggung kerja PA (Pembantu Setiausaha Pejabat). Yang lain itu, sudah diagih-agihkan kerja pada yang lain. 

Apabila sudah tahu yang aku akan menanggung kerja PA, aku pun pergilah menuntut ilmu pada PA yang sedia ada. Satu-persatu kakak itu ajar aku. Rekod surat daftar masuk, surat lepas Pengarah minit mahu diberi pada siapa, urus jadual Pengarah, terangkan fasal minit mesyuaratlah dalam satu masa sampaikan aku sebenarnya tak faham pun apa yang diajar.

Sebenarnya kena buat baru boleh faham. Setakat ajar-tunjuk begitu memang aku lost semasa dia menerangkannya. Terkapai-kapai begitu. 

Sampai aku cakap pada kakak itu, "Kak, kita sambung belajar esoklah. Saya dah blur."

Kakak PA itu pun jawab, "Okeylah."

Duduk semula di tempat sendiri sambil termenung. Dalam hati berkata-kata sendiri. 'Boleh atau tidak aku nak uruskan dua kerja.'

Yelah, kerja aku sendiri pun dah cukup banyak-melimpah ruah. Duduk di Bahagian Khidmat Pengurusan ditambah dengan kerja pentadbiran. Kerja yang ada pun sudah cukup campur-aduk. Ini mahu ditambah lagi.

Baiklah, tarik nafas. InsyaAllah boleh. Pujuk hati sendiri walaupun level kerisauan aku berada di tahap 10.



SURAT ARAHAN



Aku menerima surat arahan menanggung kerja berkuatkuasa 29 Januari 2019 yang lepas. Ya. Sepatutnya aku kena mula tanggung kerja mulai 28 Januari 2019 tetapi hari itu anak-anak aku jatuh sakit. Cirit-birit dan demam. Aku kenalah jaga anak-anak aku memandangkan aku pun isteri jarak jauh. Tetapi bukan semua boleh faham. Adalah juga cerita yang dipanjang-panjangkan dan disampai-sampaikan singgah di pendengaran aku.

"Dia kata mesti kau nak elak buat kerja PA. Itu sebab kau cuti hari ini." Itulah ceritanya yang aku dengar. Kebetulan masa itu aku telefon kawan sepejabat. Aku cuma tergelak sahaja walaupun sebenarnya jauh di lubuk hati terasa sakitnya mendengar kata-kata itu. Tercalar dan terhiris hati ini. Ouch! Ah, pedulikan.

Jadi hari itu aku hanya menjaga anak-anak tanpa menghiraukan kata-kata negatif daripada netizen. Hahaha. Kalau kita ini hidup dengan takutnya pada kata-kata manusia, hidup kita akan selalu dihantui. Jadi abaikan sahaja. Itu sahaja caranya.

Pesan kawan aku, "Hari ini tak payah nak serabutkan kepala. Rehat-rehat saja di rumah. Esok baru fikir."

Ya.

Memang aku fokus jaga anak-anak. Sudahlah dari malamnya aku melayan sorang yang muntah-muntah. Sorang yang cirit-birit. Mujurlah Allah beri aku sihat untuk menjaga mereka berdua.

Malam itu, aku susah nak tidur sebenarnya. Hahaha. Biasalah aku. Kalau ada apa-apa perkara mesti susah nak tidur. Esok punya hal sampai terganggu tidurku.

Apa jadi kat aku pada hari pertama di tempat PA?

Horror and hectic.

Nanti aku sambung. 
Okey.


1 comment:

Assalamualaikum..
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di SINI..
Silalah datang lagi yea..