Monday, January 15, 2018

Cuaca Sejuk

Assalamualaikum.

Salam sejahtera.

Selamat hari isnin. Pejam celik, sudah tiga minggu anak-anak kembali ke sekolah. Tiga minggu jugalah saya kembali memikul tanggungjawab menguruskan anak-anak setiap hari. Dari pagi hingga ke malam. Semoga saya diberikan kesihatan yang baik untuk saya menguruskan rumah tangga sebaik mungkin.

Sudah beberapa hari, cuaca di selatan tanah air teramatlah sejuk. Saya memang tak tahan sejuk. Nasiblah rumah ada water heater. Kalau tidak jenuh jugak nak masak air panas.

Anak sulung pun macam saya. Tak tahan sejuk. Ada yang dia termenung nak masuk bilik air pula. Urusan pagi ini alhamdulillah selesai dengan lancar.

Keluar rumah jam 6.50 pagi dan terus ke taska untuk hantar beg baju dan beg sekolah agama. Kemudian terus saya pecut ke sekolah pula. Tiba di perkarangan sekolah dalam jam 7.10 pagi. Pagi ini mereka ada perhimpunan sekolah.

Gambar semalam. Tengah hari semalam saya bawa anak-anak keluar ke Aeon Ayer Keroh sebab saya ada temujanji dengan kawan-kawan sekolah.

Jadi kami terus makan tengah hari di sana. Kalau nak keluar, saya memang tak masak. Sejenis perangai kalau sudah buat kerja rumah memang malas nak keluar rumah.

Status saya pagi ini di dinding muka buku. Dak Adik sudah mula bawa buku hari ini setelah dua minggu berorientasi. Lepas ni dah mula sibuk dengan kerja sekolah pula.

Harap dipermudahkan urusan kami anak-beranak. Nanti bersambung lagi di lain entri. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Friday, January 12, 2018

Rutin Harian Yang Hectic

Assalamualaikum.

Salam sejahtera. Salam jumaat. Penghulu segala hari. Semoga hari yang penuh barakah ini mendatangkan keberkatan dan rahmat pada kita. Malam tadi terdetik mahu menulis blog. Saya tinggalkan aktiviti menulis saya. Ada sepuluh kisah anekdot yang perlu saya siapkan. Deadline sudah melepasi. Itu yang saya perlu fokus ke sana dulu.

Lagi pun sekarang banyak perkongsian aktiviti harian dikongsikan di Instagram dan menulis sedikit catatan di dinding muka buku. Medium sosial itu sahaja yang paling pantas dan mudah. Walaubagaimanapun, tetap tidak boleh menandingi blog. Kalau di blog, sepanjang lebar boleh ditulisnya. Mukadimah sahaja sudah panjang berjela.

Apakan daya, masa begitu pantas. Sangat suntuk. Sangat mencemburui. Walau apa pun, saya tetap akan menulis di blog ini selagi hayat dikandung badan. Cumanya, tidak sekerap seperti dulu sebab saya banyak tugasan lain.

Untuk tahun baharu ini, rutin saya dan anak-anak berubah 360 darjah. Tahun ini adalah tahun ketiga saya memegang status sebagai isteri perkahwinan jarak jauh. Alhamdulillah, saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Tahun ini, anak-anak saya bertukar ke sekolah baharu. Dulunya, mereka bersekolah di SJKC. Jarak rumah ke sekolah agak jauh. Kemudian dari sekolah ke pejabat pun agak jauh. Walhal kalau dari rumah ke pejabat hanya mengambil masa lima belas minit sahaja untuk tiba. Saya perlu menempuh jalan yang sesak. Adakalanya, saya tiba lewat di pejabat.

Kemudian, sekolah agama pun di sekitar sekolah pagi. Kemudian bila bersekolah SJKC sebelah malam saya hantar anak-anak untuk mengaji pula. Memang mengejar masa saja. Letihnya, usah dicakap. Kadang memang saya makan di kedai saja sebab memang tak sempat nak memasak pun. Bukan kadang tetapi selalunya.

Tahun ini, anak-anak saya tukarkan ke sekolah kebangsaan. Memandangkan anak sulung saya nampak agak memberat untuk bawa subjek bahasa cina dan si adik pun nampak tidak minat sebab dia pernah menyuarakan isi hatinya. Iya, semasa pra sekolah di tadika cina hampir setiap hari dia menangis bila saya hantar dia.

Oleh sebab, tidak mahu membebankan anak-anak dan untuk keselesaan kami bertiga, saya suarakan hasrat untuk tukarkan sekolah mereka pada suami. Oleh sebab saya yang nak kena galas tanggungjawab sepanjang ketiadaan suami, jadi suami akur.

Gambar kami pagi semalam. Gambar pertama kami bertiga berswafoto untuk tahun ini. Adik pun setakat ini nampak gembira bersekolah di situ. 

Tahun ini anak-anak saya sudah duduk di taska untuk urusan transit. Rumah nenek sudah ditinggalkan. Selalunya usai sekolah rumah nenek yang jadi transit. Sudah cukuplah menyusahkan nenek. Dulu masa tinggal dengan mak, si kakak memang tinggal dengan nenek. Itu yang mak saya sedih. Masa kecil nak dihantar ke pengasuh mak tak bagi.

Sekarang ini, rutin harian kami isnin hingga jumaat sama saja. Awal pagi bangun, lewat malam barulah tidur.

Saya bangun jam 5.00 pagi dan paling lewat jam 5.30 pagi. Tak boleh lambat dari itu. Bangun masak, siapkan bekal dan kemudian saya mandi. Selepas itu saya kejutkan si kakak. Saya solat dan siapkan diri. Kemudian kejutkan adik pula.

Jam 6.50 pagi, kena keluar rumah sebab nak singgah taska hantar beg dan baju sekolah agama. Taska tak jauh dari rumah. Dalam taman saja. Lebih kurang jam 7.10 pagi sampai sekolah. Lepas hantar mereka, saya terus gerak ke pejabat. Sampai dalam 7.30 pagi. Ada setengah jam saya boleh bersantai. Tidaklah saya terkejar-kejar thumb print. Ada masa nak menyiapkan diri yang tak semenggah dalam kereta. Kalau dulu, nak pakai stokin bila lampu isyarat merah. Sarung sebelah dulu lepas tu berhenti sarung lagi. Masa itulah nak membelek diri.

Keluar pejabat tepat jam 5.00 petang. Tak boleh lambat. Sebab nak jemput salah seorang di taska. Kalau isnin ke rabu, saya jemput si kakak di taska. Si kakak sudah tahap dua jadi sesi persekolahan petang tidak sama dengan adik. Begitulah sebaliknya. Lepas jemput di taska, balik rumah sekejap untuk solat. Jam 5.40 petang bergegas ke sekolah agama pula. Anak-anak keluar sekolah petang jam 6.15 petang.

Tiba rumah dalam 6.40 petang. Bersiap ke dapur. Masak yang ringkas-ringkas sahaja untuk anak-anak makan malam. Lepas makan, teman anak-anak buat homework dan ulangkaji pelajaran.

Jam 10.00 malam, saya suruh anak-anak tidur. Kena tidur. Saya kena teman si adik tu tidur dulu. Kalau saya tak baring sekali alamat dia pun tak tidur. Tapi sejak sekolah ini memang dia lelap dulu.

Bila anak-anak sudah tidur, barulah saya buat kerja saya. Gosok baju, kemas-kemas dapur, isi botol air, siapkan bekal-bekal yang nak dibawa, periksa beg sekolah dan kalau rajin barulah saya menulis. Kalau tidak saya akan membaca atau menonton drama.

Jam 12.00 malam saya akan tidur. Merehatkan diri untuk keesokkan harinya. Minggu depan pula ada tambahan tugas untuk saya. Si kakak sudah mula ada kokurikulum. Jadi saya yang akan jemput dia di sekolah. 

Begitulah rutin harian saya. Menguruskan rutin harian sendirian bukanlah sesuatu yang mudah. Semuanya dihempuk atas kepala. Atas bahu. Kena kuat. Apa pun kena belajar berdikari. Saya kagum lihat wanita yang tiada suami menggalas tugas-tugas sebegini. Kalau mereka boleh, kenapa saya tidak boleh.

Itu perkara-perkara asas sahaja. Belum masuk perkara sampingan. Hectic ke tidak? Maknya kena kuat barulah anak-anak ikut sama.

Semoga urusan saya sentiasa dipermudahkan. Saya selalu berdoa agar sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk saya pikul tanggungjawab ini. Bukan mudah tapi perlu dipermudahkan semuanya demi keselesaan bersama.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Monday, January 8, 2018

Kuala Lumpur, Aku Datang!

Assalamualaikum.

Salam sejahtera.

Selamat hari isnin. Semoga tiadalah istilah monday blue walaupun perasaan itu seringkali menganggu tangkai hati.Adakalanya tidaklah seringkali, sesekali barangkali. Baiklah, entri ini entri lama. Entri lama yang amat sangat. Saya ambil masa untuk menulis entri ini. Entahlah, auranya tidak datang. Kadang kita ni nak bercerita perlukan mood. Betul tak?

Macam nak bercerita dengan seseorang. Kalau tiada mood kita pun malas nak bercakap. Baiklah mendiamkan diri. Kan orang kat, sepi itu indah. Begitulah. Sama juga konsepnya dengan bercerita melalui penulisan.

Ini kisah kami ketika ke Kuala Lumpur. Bulannya saya sudah tidak ingat tapi masa ini cuti perayaan Deepavali. Kebetulan hari sabtu anak buah saya konvo di UITM Shah Alam. Jadi kami pun berangkat ke sana dengan pelawaan kakak sepupu saya.

Sebelum keluar tol harus makan di kedai ini dulu.

Macam biasalah keluar tol Ayer Keroh.

Wajah saya pada tahun lepas.

Kami ke Muzium DiRaja.

Outfit of the day kononnya.

Bayaran masuk ke Muzium Diraja.

Bergambar di luar muzium sahaja sebab di dalam dilarang bergambar.

Kami empat beranak.

Di luar muzium.

Permandangan dari luar.

Saya dan anak-anak. Biasalah suami jadi jurugambar.

Kemudian ke Muzium Negara.

Saya sudah kepenatan.

Salah satu ruang dalam muzium.

Satu lagi ruang.

Ini di luar Muzium Negara.

Sama juga yang ini. Saya banyak duduk sebab dah kepenatan dek berjalan. Hehe.

Kemudin kami ke Tugu Negara.

Sekali lagi saya bergambar dengan anak-anak. Biasalah, memandangkan emaknya suka bergambar, bapaknya tukang amikkan gambarlah.

Kami tiga A. Adriana, Ammar dan Alfidah.

Sebelah malam kami jalan-jalan di KLCC. Kami bertolak dari rumah anak buah sebab kami bermalam di rumahnya. Usai makan malam, semua pakat-pakat mahu berjalan.

Kami malam itu.

Sebelum balik, haruslah melepak minum dulu.

Keesokkan harinya, kami sudh bersiap mahu bertolak ke UITM Shah Alam. Kami siap-siapkan maklong saya dulu sebab kakak sepupu saya kena ke UITM dulu.

Kami dalam perjalanan ke Shah Alam.

Jumpa anak buah saya. Saya tak sempat nak tunggu anak buah yang berkonvo sebab nak bertolak balik ke Melaka.

Dalam perjalanan, kami singgah makan nasi arab di Cyberjaya. Kali kedua saya makan di situ. Pertama kali masa balik daripada Langkawi. Kami singgah makan di situ juga. Sedap nasi arabnya. Begitulah coretan saya untuk pagi ini. Kisah tahun lepas masih lagi dititipkan pada tahun baru ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Friday, January 5, 2018

Azam Tahun Baru

Assalamualaikum.

Salam sejahtera semua.

Entri di tengah malam yang baru sahaja memunculkan dirinya. Saya baru berkesempatan untuk menulis. Sepatutnya mahu menulis siang tadi tapi entahlah. Moodnya tiada. Saya ketandusan idea. Aksara bertempiaran menjauhkan diri daripada saya. Jenuh juga nak mencari momentum untuk menulis semula.

Bukan sahaja blog. Malah saya terhenti seketika menulis cerpen. Ini baru mahu mencari mood semula. Azam tahun baru mahu semakin produktif daripada tahun lepas. Sekarang sedang sibuk menyiapkan projek bersama team TSJD.

Marilah menulis. Menulis dapat mengurangkan kestresan dalam diri. Itu saya. Saya tidak tahu orang lain. Cara yang menenangkn diri dengan menulis. Antara perkara paling bahagia bila dapat menulis. Tak kiralah menulis di blog, menulis di dinding muka buku, menulis cerpen. Sekarang mencari ruang untuk kembali menulis artikel untuk Zcoop Zalora Magazine. Editornya sudah emel bertanyakan fasal saya sudah lama tidak menghantar emel.

Kena buat jadual.

Syaratnya kena disiplin. Ikut jadual. Mesti dapat punya. Kata seorang sifu, membaca agar tidak terputus idea. Oh ya, saya sedang praktikkan juga perkara itu. Tapi masalahnya, saya membaca suka berbaring. Sudahnya buku ke mana, saya ke mana.

Haha. Masalah diri sendiri sebenarnya.

Mahu cabar diri sendiri, sekurang-kurangnya satu cerpen satu bulan. Kemudian hantar dan tunggulah. Harap tahun ini lebih banyak cerpen yang akan terhasil. Doakan saya agar terus istiqomah.

Pencapaian saya untuk tahun lepas. Tiga buah buku antologi cerpen. Cerpen Bayangan Cinta dalam Tribunal Cinta. Rotan Terbelah dalam Kelip-kelip Kusangka Api dan Separuh Mati Kubercinta dalam Suara Kekasih Cinta. Dua buah cerpen berjudul Rindu Di Hati Abah dan Khilaf pula tersiar dalam akbar Utusan Malaysia.

Itu sahaja perkongsian saya malam ini. Semoga terhibur. Harap saya juga rajin menulis blog ini yang telah menginjak sembilan tahun usianya. Bulan April ini genaplah ulangtahunnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, January 1, 2018

Selamat Tinggal 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bismillah.

Selamat petang semua. Selamat Tahun Baru 2018. Kiranya, ini adalah entri pertama saya untuk tahun baru ini. Semalam nak menulis entri penutup pun tidak berkesempatan. Sibuk yang amat. Tamatlah sudah kembara selama setahun. 2017 sudah melabuhkan tirainya. Meninggalkan dengan pelbagai cerita.

Ada suka.
Ada duka.

Dugaan.
Kenangan.
Kematangan.

Tutuplah cerita dengan pelbagai kisah. Lembaran baru pula dibuka. Semoga kembara kali ini lebih mematangkan kita dan semoga menjadi sebuah kisah yang manis.

Saya baru sahaja memindahkan himpunan gambar-gambar di dalam galeri telefon ke komputer. Pening kepala. Mata pun berpinar-pinar dibuatnya. Mana yang hendak diasingkan dalam satu folder. Memang buat sakit mata. Bila sudah menimbun gambar dalam telefon, berat pula dibuatnya.

Malam tahun baru saya tak kemana. Sambung mengemas bilik anak-anak dan bilik bacaan. Sebelah siang saya memang saya sibuk berkemas. Memang pulun habis sesi berkemas. Menjelang petang suami ajak keluar. Dah janji dengan anak-anak nak ke bowling. Terpaksalah saya tinggalkan sebentar kerja mengemas saya.

Sambil mengemas, saya siapkan kelengkapan anak-anak untuk ke sekolah. Memang semua saya buat semalam. Dari sehari ke sehari mahu mengemas tetapi sibuk benda lain saja. Semalam merangkap tahun lepas memang saya seru betul-betul semangat mengemas. Macam seru apa pula. Hehe.

Gigih semangat. Sebenarnya masa cuti Christmas patutnya kami ada family gathering. Kononnya nak ke bowling. Tapi nasib tidak menyebelahi kami sebab penuh. Sudahnya kami ke karoke.

Mari saya kongsikan serba sedikit kisah dalam bulan ini iaitu bulan penutup tahun 2017. Alhamdulillah. Penutupnya diberi sebuah kemanisan.

Misi membeli kain untuk baju kurung. Sudah agak lama tidak membeli-belah kain.

Kemudian ke karoke pula. Berlibur seketika.

Sempat berdating dengan anak buah jumaat seminggu mahu ke tahun baru. Dia baru habis SPM. Hari tu masa dia last paper saya tak sempat nak bawa dia.

Sudahnya kami melepak di mamak dulu. Kemudian ke karoke yang selang beberapa kedai daripada restoran mamak ini.

Satu jam aje. Bergilir-gilirlah. Suami saya tak masuk. Mana minat. Dia tunggu kat luar.

Mak saya pun kebetulan ikut jadi kita orang bawa sekali. Tinggal lagi mak tak menanyi saja.

Saya bersama anak-anak buah.

Ini pula gambar jumaat tahun lepas. Saya bawa mak jalan-jalan. Dah lama tak melepak dengan mak. Kami ke Hari-Hari. Saya nak mencari baju sekolah agama untuk Ammar. Kemudian ke Mydin. Dari Mydin kami ke Pesta Buku Popular di MITC. Akhir sekali makan di food truck depan Melaka Mall.

 30 Disember 2017. Kami ke Putrajaya memenuhi jemputan perkahwinan rakan sekerja suami.


Inilah pengantinnya. Suleiman dan Arisa.

 Kemudian kami ke IOI Mall City.

Sebelah malam pula, ke Pesta Lampu dan Cahaya di Presint 3. Sempat berjumpa dengan anak buah walaupun sesak dengan umat manusia. Jenuh juga nak jumpa.

Begitulah serba sedikit coretan akhir tahun buat saya dan keluarga. Hujung tahun yang manis buat kami sekeluarga. Berkumpul bersama ahli keluarga adalah momen yang paling indah. Sungguh! Tiada momen lain yang boleh menggantikan kegembiraan diri. Sampai sini dulu coretannya. Hingga berjumpa lagi.

Xoxo.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim