Wednesday, December 27, 2017

Rutin Harian Disember

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hai semua.

Selamat tengahari. Sudah makan? Saya setakat ini masih berpuasa. InsyaAllah. Lagi dua hari mahu menghabiskan hari kerja untuk tahun ini. Apa yang lebih penting, lagi 5 hari sahaja lagi sekolah akan mula dibuka. Kembali ke sekolah. Kembali berposak. 'Berposak' cakap orang Melaka  katanya. Entahlah saya memang orang Melaka.

Bulan Disember ini perjalan rutin harian agak santai sedikit. Anak-anak saya sudah duduk di taska mereka. Memang dekat sangat dari rumah dan sejalan saya nak ke kerja. Itu sebab bulan Disember saya boleh masuk kerja WP1. Masuk kerja jam 7.30 pagi dan balik jam 4.30 petang. Kemudian terus jemput anak-anak di taska. Taska ini yang akan uruskan mereka nanti bila sekolah dibuka. Jemput anak-anak di sekolah pagi dan hantar ke sekolah petang pula.

Saya sudah boleh melepaskan lelah sedikit sebabnya saya tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan berpatah bali untuk ke kerja. Harapnya selepas ini kehidupan kami lebih terurus. Bukanlah selama ini tidak terurus tapi lebih kepada terkejar-kejar.

Kemudian anak-anak sekolah di SJKC pula itu. Jadi di situ memang mencabar sedikit. Demi keselesaan saya dan anak-anak, saya pindahkan mereka sekolah. Emosi mereka perlu dijaga, emosi saya juga perlu dijaga.

Gambar pagi tadi sewaktu sampai di tempat parkir. Sebab masuk WP1, tak perlulah saya berperang mencari parking.

Tadi saya keluar sekejap ke sekolah agama untuk membayar yuran dan mengambil buku teks untuk anakanda berdua. 5 hari yang berbaki ini, bolehlah siapkan apa yang patut supaya tidak huru-hara nanti. Itu sahaja coretan untuk hari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Tuesday, December 26, 2017

Program Dua Kali Sabtu

Assalamualaikum.

Salam sejahtera.

Salam pembuka bicara untuk malam ini. Lamanya saya tidak menulis di sini. Ye, memang agak lama saya meninggal blog ini. Menyepi. Bersawang. Bukan tidak mahu menulis di sini tapi kekangan masa. Ada perkara lain yang saya perlu utamakan. Walhal dalam hati menjeruk rasa sebab tak dapat meluangkan masa di sini.

Walaupun tidaklah sampai sebulan, cuma lebih kurang dua minggu tetapi kerinduan itu sangat menggebu dalam diri. Banyak cerita yang tertangguh. Cerita yang melawat ke muzium di Kuala Lumpur pun saya belum sempat kongsikan di sini.

Oh, masa.

Sangat mencemburui. Dihimpit dengan banyak perkara. Tugas hakiki, tugas harian dan tugas mingguan. MasyaAllah. Adakalanya bila mood menjengah ke sini, aksaranya bagai tidak mahu bersekongkol. Sudahnya saya tutup dan tidur.

Entri malam ini juga adalah cerita lama. Memang sudah basi. Cerita makanan pun sudah menjadi bahan kumbahan. Hehe. Sekadar berkongsi cerita dan dijadikan kenangan untuk diri saya sendiri. Bila sudah lama, mesti kita baca balik cerita-cerita lama. Terubatlah jugak. Sekurang-kurangnya tengok gambar lama kita akan terdetik, "Eh, dulu aku kuruslah."

Begitulah.

Kisah sabtu berturut-turut yang sudah beberapa minggu berlalu. Saya kongsikan sebab saya dan keluarga ada aktiviti yang dilakukan sabtu-sabtu yang berlalu.

Singgah makan di Marry Brown.

Waktu ini, suami sedang berbual dengan kawannya di luar. Terserempak masa nak masuk ke Marry Brown. Jadi bergambar bertiga sahaja.

Sebelah petang, lepas sudah mengenyangkan perut marilah hiking. Bakar balik lemak yang terkumpul. Jangan disimpan.

Kononnya panjat Beruang Hills. Serius, saya mengundur diri sebelum sampai ke puncak. Bukitnya sangat condong. Saya memang tak larat. Dengan jalannya bertar. Rupanya ada jalan hutan yang tidaklah secabar ini.

Tengok jalannya rupa ini.

Dak Ammar sudah menangis-nangis. Waktu ini saya sudah tidak ikut mereka. Turun dulu menyelamatkan diri. Hahaha. Suami yang bercerita Ammar bantai menangis.

Itu saya dengan Adriana masa nak naik. Dok berhenti-henti sampai Dak Adriana pun bengang. "Ma, lain kali jangan ikut. Mama tak larat ni." Motivasi sangat anak saya bagi.

Ini gambar daripada telefon bimbit suami. Saya dah turun. Balik rumah muntah. Memang pening. Tak mahu lagi saya pergi kalau diajak. Bagi duit pun tak mahu. Boleh rasa tak fobianya?

Sabtu seterusnya yang saya pun dah lama berapa tarikhnya. Masak ringkas-ringkas sahaja sebab nak keluar.

Suami mahu beli bola golf.

Kemudian mahu servis kereta. Jalan di Klebang bukan main sesak. Melaka, bila hujung minggu atau masa cuti memang beginilah keadaannya.

Sementara menanti kereta siap marilah berswafoto anak-anak.

Dari tempat servis kereta singgah makan. Mee sup gian orang panggil. Saya panggi mee Sudirman.

Sudah lama tak makan popianya. Mengah-mengah nak menghabiskannya.

Kemudian ke Banda Hilir pula. Sesak jugak.

Jalan-jalan di pusat membeli-belah yang baru. Namanya The Elements. Kalau tak silap. Ada 'the' ke tidak saya pun dah tak ingat.

Salah satu ruang yang terdapat dalam pusat membeli-belah itu. Kami sempat singgah Mr. DIY dan membeli sedikit barang keperluan. Kemudian jalan-jalan sekitarnya. Ada beberapa buah kedai sahaja yang sudah dibuka. Ada masa boleh pergi lagi. Itu sahaja coretan saya untuk malam ini. Nanti saya sambung lagi. Mahu tidur dulu. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, December 13, 2017

Pulang Ke Negeri Abadi

Assalamualaikum.

Salam sehati sejiwa. Hai semua.

Saya baru berpeluang untuk mencoretkan sesuatu di sini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aksara bertempiaran tidak mahu bersekongkol dengan saya. Bila mahu menulis cerpen, fikiran kosong. Larilah ke blog pula. Kononnya nak menulis entri-entri yang tertunggak dalam fail draf. Sama juga kejadiannya.

Lama saya memandang skrin dan sudahnya saya ambil keputusan untuk tutup sahaja. Kalau tidak tidur, saya bacalah novel, kalau tak membaca saya menonton televisyen. Begitulah kesudahannya. Minggu ini pula selsema menyerang. Badan terasa sakit-sakit. Jadi semalam saya ke klinik dan doktor pun bagilah cuti sakit sebanyak dua hari. Kemudian, semalam juga atok suami meninggal dunia.

Saya menerima panggilan sebelah malamnya daripada suami menyampaikan khabar duka. Atok sudah seminggu di hospital. Ahad lepas, ulangtahun kelahirannya yang ke 91 tahun. Isninnya atok meninggal. Sudah sampai masanya atok pergi.

Ini pun saya menggagahkan diri untuk menaip entri ini. Banyak sebenarnya benda nak dikejar. Deadline yang berderet-deret. Tengoklah mana yang termampu dek diri ini.

Gambar yang sempat saya rakam. Perjalanan terakhir atok. Selamat pulang ke negeri abadi. Walaupun saya hanya cucu menantu, kesedihan itu turut terasa.

Usai jenazah dikebumikan, hujan rahmat turun membasahi bumi seakan tahu bahawa kami juga bersedih atas pemergian atok lebih-lebih lagi insan-insan yang menjaga atok siang dan malam. Semoga kebaikan mereka dibalas dengan pahala daripada Allah Taala.

Sekian dulu coretan ringkas untuk hari ini. Kisah duka yang lain biarlah saya simpan. Apa yang berlaku saya perlu jadikan iktibar. Ego manusia tidak ke mana. Sejauh mana mahu hidup di atas bumi ini dengan sikap bongkak. Setiap kelakuan kita pasti dibalas. Andai baik, baiklah dapatnya. Semoga dijauhkan sikap-sikap sebegitu dalam diri.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Friday, December 8, 2017

Kelip-kelip Kusangka Api Dan Suara Kekasih Cinta

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Bismillah.

Hai semua.

Salam jumaat. Salam pembuka bicara. Pagi ini saya ingin kongsikan dua buah buku antologi cerpen yang saya sertai. Kiranya ini adalah buku kedua dan ketiga antologi yang terselit karya kecil saya. Buku antologi yang menyusul selepas Antologi Cerpen Tribunal Cinta. Alhamdulillah. Kiranya tahun ini saya lebih produktif menulis selepas tempoh berhibernasi.

Buat masa ini, saya hanya mampu menulis cerpen dan mungkin akan berjinak-jinak dan melangkah untuk menulis novel pula. Allahu. Macam tak tercapai dek akal. Mampukah atau tidak? Itu yang sering dipersoalkan pada diri sendiri.

Jadi untuk tahun ini, lima buah cerpen yang telah tersiar. Baru lima buah sahaja. Untuk penulis baharu seperti saya, ini pun sudah cukup membuatkan hati berbunga riang. Mari saya kongsikan buku-buku tersebut.

Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api. Terbitan Jemari Seni. Ada 40 buah cerita daripada 40 orang penulis. Kiranya ini salah satu impian saya yang sudah tercapai bila cerpen saya terpilih untuk dibukukan dalam naskhah ini. Memang impian nak menyertai keluarga Jemari Seni. Saya memang suka beli koleksi novel-novel daripada Jemari Seni. Lebih-lebih lagi saya sekarang sudah minat dengan salah seorang novelisnya iaitu Noor Suraya. Bukan mengipas ya. Sebab Kak Su ini adalah penyelenggara untuk Kelip-kelip Kusangka Api .

Ini pula kira buku penutup untuk tahun ini. Suara Kekasih Cinta. Gabungan cerpen dan puisi. Terbitan Pena Padu. Kali kedua saya menyertai Pena Padu.

Untuk belian koleksi-koleksi buku ini, saya akan iringkan dengan cenderahati sebagai tanda penghargaan untuk pembaca. Semoga apa yang dinukilkan dalam antologi ini memberi sesuatu kepuasan. Sesungguhnya yang buruk itu datang daripada diri saya sendiri.

Sesiapa yang berminat hendak membeli naskhah ini, bolehlah whatsapp saya di talian 017-6741270 (Fyda Adim).

Kelip-kelip Kusangka Api (RM38)
Suara Kekasih Cinta (RM25)

Stok cenderahati sangat terhad. Selagi stok masih ada. Jom dapatkan segera buku-buku ini. Boleh dijadikan koleksi untuk diri sendiri atau dijadikan sebagai hadiah. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, December 6, 2017

Disember Membuka Tirai

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai semua.

Selamat pagi. Beberapa hari tidak menulis di sini. Kiranya, ini adalah entri pertama untuk Disember. Disember telah membuka tirainya. Kita sudah tiba di penghujung tahun 2017. Dua puluh lima hari sahaja lagi kita bakal meninggalkan tahun 2017 ini. Saya masih lagi kesibukan. Biasalah sibuk dengan rutin harian. Cumanya, cuti sekolah agak santai. Tidaklah kalut dan lagaknya seperti Charlie Chaplin.

Hujung tahun ini saya sibuk memgejar mss dan projek anekdot bersama beberapa rakan penulis. Jadi masa saya agak terhad untuk menulis di sini. Projek 1000 patah perkataan saya sudah tidak terkejar. Sudah ketinggalan jauh di belakang.

Bulan Disember ini saya hantar anak-anak menyertai program cuti sekolah di taska. Taska itu akan dijadikan tempat transit anak-anak saya nanti tahun depan. Seorang yang dalam gambar di atas adalah anak buah saya. Hari yang ada program saya jadi mama tiga orang anak.

Begitulah sedikit coretan pagi ini. Coretan untuk melepaskan sedikit kerinduan yang menjalar dalam diri. Doakan semoga urusan saya dan juga urusan kalian dipermudahkan hendaknya. Amin.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim