Thursday, May 9, 2019

Ikhtilat, Biarlah Kena Dengan Caranya

Assalamualaikum.

Imej yang berkaitan
Sumber: Google

Definisi ikhtilat : Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (bukan muhrim) sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat terbuka.

Pada masa sekarang, ikhtilat ini seolah-olah tidak dapat dielakkan. Baik di tempat kerja, sekolah, universiti dan lain-lain lagi. Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada kita, apakah dibolehkan hubungan sebegitu??

Hubungan secara bebas antara lelaki dan perempuan ini merupakan suatu ciri bentuk pergaulan pada zaman jahiliyyah dahulu dan juga berasaskan nilai-nilai dan sistem hidup masyarakat jahiliyyah. Apabila datangnya Islam yang dipimpin oleh Rasulullah, hubungan seperti ini ditolak dan suatu bentuk sistem dan nilai hidup yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah diperkenalkan untuk menjaga diri manusia itu sendiri.

Tetapi, pada masa sekarang ikhtilat dilihat memang tidak dapat dielakkan. Saya pernah terbaca suatu artikel yang membicarakan soal hubungan antara lelaki dan perempuan, dan dalam artikel tersebut penulisnya telah menukilkan pendapat Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam masalah ikhtilat.

Katanya : pertemuan/perjumpaan dan perhubungan antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak. Dalam keadaan yang lain, perhubungan seperti ini diharuskan jika tujuannya adalah mulia (spt menuntut ilmu), memberi manfaat, dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ia juga diharuskan dalam keadaan di mana terdapat sesuatu perkara yang berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan), tetapi dengan syarat mestilah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak, tujuan yang betul dan pelaksanaannya yang berkesan.

Ikhtilat terbahagi kepada dua bentuk :

a) ikhtilat ghoiru syar’ie (tak ikut syariat Islam)

b) ikhtilat syar’ie (berlandaskan syariat Islam)

Ikhtilat ghoiru syar’ie :

Percampuran yang boleh menjatuhkan maruah.
Percampuran yang boleh menimbulkan fitnah, seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan di tempat yang sunyi.
Bercanggah dengan adat dan adab etika Islam, seperti bergurau senda antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.
Bukan berhajat. Yakni tidak mempunyai sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan.
Tidak ikut adab Islam.
Tidak mengasingkan tempat lelaki/perempuan.
Ikhtilat syar’ie :

Mempunyai hajat, iaitu ada perkara yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan.
Menjalankan tuntutan dakwah, yakni amar makruf nahi mungkar.
Menghadiri jemputan, contohnya : kenduri kahwin dan lain-lain.
Menunaikan haji dan umrah.
Bermesyuarat atau pembentangan, yakni yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan.
Dan, setiap ikhtilat pula mestilah mematuhi syarat berikut :

Tidak bersentuhan
Menjaga aurat
Menjaga adab bercakap
Mengasingkan tempat (pada tempat2 tertentu).
Terdapat batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang telah digariskan dalam Islam. Batas-batas ini harus diikuti dan dan dipatuhi demi menjaga hubungan itu sendiri daripada hukum harus menjadi haram. Antara batas-batas pergaulan yang mesti dijaga ialah :

1. Elakkan berurusan dengan lelaki selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal-hal yang di luar kemampuan wanita seperti dalam hal baiki kereta, baiki laptop dan sebagainya. Disebabkan keterbatasan kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki. Dalam keadaan ini ia diharuskan.

2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunalah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mel atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal, dan bukannya bahasa pasar. Contoh : maaf (bukan sorrie..), terima kasih (bukan time kacih). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =), gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.

Dan elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul terdesak. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan bernama lelaki. Buktinya sampai Allah menasihati kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran Surah Al-Ahzab, ayat 32 :

“Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik.”

Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih.

3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”

4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, “make eye contact with the person you’re talking to..”. Ianya dapat diaplikasikan kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar boleh berlaku.

Kita juga mestilah tidak memandang kepada aurat dan tidak memandang dengan syahwat. Dari panahan mata sahaja, sudah cukup untuk membawa ke arah perkara-perkara yang lebih besar. Kita doakan agar kita dijauhi daripada perkara-perkara tersebut.

Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :

“…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…”.

Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke..

Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalam kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, mestilah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contohnya :   “Wahai cik _____, tundukkanlah pandangan..”. Isk,isk..tak layaknya..

5. Sentiasalah berakhlak muslimah dalam semua perkara, terutamanya ketika bermuamalat dengan lelaki. Contohnya : percakapan, mestilah tidak melunakkan suara sehingga dapat merangsang dan membangkitkan perasaan.

6. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

7. Jangan sesekali membiarkan  hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram di sisi mereka, ianya ditegah dalam sebuah hadis sahih mengenainya, (sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin terbakar la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

8. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth : mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan ataupun perkara yang boleh melalaikan dari tujuan sebenar perjumpaan tersebut.

9. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin dapat diaplikasikan kepada para pelajar atau orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak…TAK PERLU! Siapkan kerja cepat2, then go.

10. Tempat perbincangan pula buatlah di tempat yang terbuka dan berurusanlah secara profesional.

Hasil carian imej untuk iktilat maksud
Sumber: Google

Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Nasihat ini bukan sahaja ditujukan kepada kaum wanita, kaum lelaki turut dapat mengambil manfaatnya. Patuhilah semua peraturan-peraturan dalam berikhtilat supaya tidak timbul perkara-perkara maksiat yang dimurkai Allah. Dan nasihat saya, kalau boleh dijauhkan ikhtilat, maka jauhkanlah kerana itu yang lebih utama. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

Sumber: https://wasyafiq.wordpress.com/2011/08/26/tips-untuk-muslimah-ikhtilat-biarlah-kena-dengan-caranya/

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: