Friday, March 22, 2019

Memaafkan Dan Meminta Maaf

Assalamualaikum.

Hai semua.

Salam jumaat korang.

Memaafkan dan meminta maaf adalah dua perkara yang berbeza. Namun dua-dua perkara ini memerlukan kekuatan untuk kita melakukannya. Kalau tiada kekuatan dalam diri agak mustahil untuk menzahirkan kata maaf dan juga melahirkan kemaafan daripada dalam diri.

Manusia memang sudah zahirnya tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kalau tak buat silap baiklah tukar jadi malaikat. Itu kata seorang teman aku suatu ketika dulu. Namun jangan diambil kesempatan untuk melakukan kesilapan itu berulang kali.

Kesilapan itu perlu diperbetulkan.
Kesilapan itu perlu dipelajari.

Bukan untuk diulang.
Hingga manusia lain sudah tidak yakin.

Semoga kita punya kekuatan untuk memaafkan dan meminta maaf sesama manusia yang pernah buat kesilapan pada kita dan juga kesilapan kita pada manusia lain pula.

Andai ada hati yang terluka dan sedang mengumpul kekuatan untuk memaafkan semoga dipermudahkan urusan kalian.

Lakukanlah bila sudah tiba masanya kerana dua-dua perkara ini memberi kebaikan pada diri kita sendiri. Jika hari ini kita memaafkan orang, esok lusa giliran kita pula dimaafkan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, March 21, 2019

10 KM Ocean Run

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Pembuka tahun tempoh hari, aku dan geng lari menyertai larian sejauh 10 kilometer. 10km tau bukan 5km. Berlagak bunyinya. Walhal salah seorang daripada kita orang baru keluar hospital sebab slip disc. Memandangkan aku akan bertukar ke JB (masa itu baru saja hantar permohonan) jadi semua bersemangat mahu pergi. Lari bersama-sama menikmati larian kali terakhir kononnya. Yelah, nanti aku sudah duduk di JB mesti dah susah nak ikut serta.

Begitulah kekdahnya.

Aku cukup menghargainya. Semangat setiakawan. Sakit-sakit pun datang nak berlari tapi mulanya dia janji takkan lari sebab kita orang semua bising. Dia kata nak tunggu kat finisher. Tapi itulah bila tengok kita orang nak lari dia pun ikut lari.

"Saya lari perlahan aje."

Baiklah.
Kita orang tengokkan saja. Bila nampak dia lari macam orang lupa diri kita orang jeritkan dia.

"Kamar!"
(Namanya Mar dan kita orang panggil Kamar - singkatan Kak Mar)

Kami berempat.

Ramai sudah berkumpul.

Kamar tu yang pakai shawl. Dia sorang saja yang gigih bershawl bagai. Dia panjat gunung pun pakai shawl. Korang mampu? Aku tabik spring. Hahaha.

Sebelum lari semua mampu tersenyum manis.

Selagi tak lari selagi itulah bergambar.

Memandangkan badan tak fit, sejam lebih baru sampai finisher. Pertama kali aku lari sejauh 10km. Selalu lari 5km saja.

Selesai lari.

Berjaya juga akhirnya.

Medal pertama untuk tahun ini.

Lepas ini entah berpeluang lagi nak berlari bersama atau tidak. Ada satu lagi larian sabtu ini (23/3/2019). Itulah penutupnya sebelum aku berpindah ke Johor. Semoga ikatan ini akan terus mantap. Kami menjadi rapat dengan asbab aktiviti ini juga. Sayang korang!

Salam pena,
Fyda Adim


Seharian Bersama Teman-Teman

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Rancangan untuk keluar bersama-sama tercapai juga akhirnya. Sejak dari tahun lepas merancangnya namun ada sahaja halangannya. Seorang demi seorang mengandung jadi aktiviti berjimba terpaksa diperlahan dan dihentikan. Aku yang tidak mengandung menantilah seorang demi seorang melahirkan dan berpantang.

Selalunya benda yang dirancang memang tidak menjadi. Kali ini kami rancang saat-saat akhir dan rancang secara mengejut. Menjadi pula. Begitulah. 

Jadi hari kejadian usai aku menghantar anak-anak aku jemputlah Nurul kat depan balai bomba Bukit Katil. Suami dia hantar di situ. Kebetulan hari itu aku memang mohon cuti. Kawan lagi sorang pun memang cuti bawa mak ke klinik untuk pemeriksaan berkala. Kawan lagi sorang anaknya tidak sihat dan kebetulan suaminya cuti juga dia mintalah pelepasan kejap. Semuanya guna alasan nanti manalah tahu aku nak berpindah. Masa dah suntuk sebenarnya sebab aku memang sedang menunggu surat pertukaran aku masa itu.

Kami bersarapan dulu. Aku bawa makan kacang pool.

Macam biasalah berswafoto itu satu kewajiban.

Kami sampai AEON Bandaraya dalam jam 10.30 pagi. Menunggukan si Myra Mokhtar datang.

Masa ini tunggu si Nurul beli tisu sebab dia berhingus hari itu. Hahaha.

Sementara menunggu Myra Mokhtar datang sempatlah kami pusing-pusing.

Myra Mokhtar masih belum kelihatan.

Sampai dah depan tempat karoke pun dia belum kelihatan.

Akhirnya sampai pun dia. Dia diva-diva memang orang kena sambut dia. Hahaha.

Dua jam kami dalam ini memekik dan melalak. Sesekali melepaskan segala tekanan.

Memasing seronok menyumbangkan suara. Hahaha.

Sebelum keluar bergambar lagi.

Kali ini bergambar lagi di luar tempat karoke.






Dari kiri : Aku, Nurul, Umi dan Myra.

Sebelum balik isi perut dulu. Kami makan di Secret Recipe.

Aku makan laksa singapore.

Menu kami berempat hari itu. Makan, berbual dan bergelak tawa. Saat-saat ini akan dirindui satu hari nanti. Hanya gambar-gambar ini yang akan menjadi pengubat sebuah kerinduan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, March 20, 2019

Datangnya Khabar Duka

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Entri ini sudah lama didraft. Cerita tahun lepas. Adalah aku titipkan sedikit di instagram. Tapi kepuasan menulis di sana tidak sama dengan menulis di blog ini. Memandangkan aku guna iPhone agak susah aku nak menggunakan apps blog di telefon. Agaknya aku ketinggalan atau entahlah. Itu yang agak terbantut sedikit aktiviti menulis blog. 

Kalau tak ada mood nak duduk depan komputer mungkin boleh gunakan telefon untuk menulis walaupun kepuasannya tidak sampai. Hahaha. Jadi marilah aku kongsikan sedikit kisah yang berlaku tahun lepas.

Kalau tak silap harinya isnin. Suami cuti sebab nak bawa anak-anak beli buku sekolah. Aku kerja tapi sekerat hari.

Beli buku di sekolah petang pula.

Petangnya kami ke Jabatan Pendaftaran untuk ambil kad pengenalan aku.

Semua gara-gara nak buat pasport aku kena tukar kad pengenalan.

Gambar curi. Suami aku punya kerja. Bukan suami orang. Hahaha.

Kemudian pos barang. Mujur sekarang ada drive-thru saja. Memudahkan dan cepat.

Kemudian ke Bee Loon untuk beli baju sekolah Nana.

Memandangkan dia jadi pengawas kebersihan tahun ini kenalah tukar baju sekolah.

Selesai membeli barang kami singgah makan di Kg. Jawa.

Penuh manusia kedai ini. Mujurlah kami dapat makanan kami.

Makanan untuk anak-anak.

Sate pun kami pesan. Campur-campur satenya. Sedap sangat.

Usai makanlah segala kegembiraan kami direntap. Sekelip mata kegembiraan itu lenyap sebaik sahaja suami menerima mesej menerusi aplikasi whatsapp. Mulanya ada kawannya telefon memberitahunya sesuatu dan dia seakan terkejut. Aku kat sebelah terpinga-pinga. Sebaik dia mematikan taliannya, terus dia baca whatsappnya.

Surat pertukaran rupanya dan namanya ada di situ. Masa itu aku berharap surat itu adalah surat pertukaran suami untuk bertukar ke Melaka. Saat itu, itulah yang aku harapkan. Tiada lain. Namun, apa yang aku harapkan tidak kesampaian.

Rupanya suami kena bertukar ke Johor Bahru. Lagi jauh rupanya. Kami singgah rumah mak. Aku meluru masuk bilik dan aku menangis.

Iya, aku menangis. Harapan aku yang setinggi gunung itu runtuh. Aku telefon seseorang masa itu. Entahlah. Aku sedih sangat masa itu sebab apa yang aku harapkan tidak kesampaian.

Bermulalah episod murung aku. 
Nantilah aku sambung.

Dari rumah mak kami ke MITC sebab nak beli barang lagi. Tapi waktu ini fikiran sudah menerawang. Dalam pada jiwa kacau, beratus juga aku habiskan duit suami aku. 

Cari buku latihan anak-anak.

Nana sedang memilih bukunya.

Suasana di dalam MITC.

Lego untuk Ammar. Memang kesukaannya.

Selesai beli barang kami ke sini.

Dapatlah baucer.

Sempat aku mengambil gambar orangnya.

Nampak gambar Kak Su. Terus aku ambil gambar. Jadilah walau tak jumpa orangnya.

Hasil membeli buku-buku.

Buku-buku sekolah.

Buku latihan anak-anak.

Alat tulis yang dibeli.

Novel ini hasil gunakan baucer yang dapat.

Sempat beli Saidina juga.

Baju-baju sekolah anak-anak.

Itulah kisahnya. Kisah yang tertangguh untuk aku titipkan di sini. Itu pun saat aku menaip kisah duka itu air mata berjuraian. Kecewa. Tahu tak apa rasanya bila kecewa? Itulah aku rasa saat itu.

Perjalanan hidup ini penuh dengan cabarannya. Ada suka. Ada duka. Walau macam mana pun suka dan duka kita, tetaplah bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai sebuah kehidupan yang jauh lebih bermakna.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim